Bahaya “HIKIKOMORI” (引きこもり)

Assalamu’alaikum
-Dipetik dari laman web Saifulislam, milik Ustaz Hasrizal.

“Bagaimanakah cara yang boleh kita gunakan untuk menyelamatkan generasi Y dan Z?” tanya salah seorang peserta forum.

Asas kebimbangan sudah dibentangkan.

Kemerosotan interaksi sesama manusia, bukan sahaja menyebabkan anak-anak kita kehilangan minat untuk berbual dengan ahli keluarga dan sanak saudara, malah banyak fondisi agama musnah.

Aktiviti galah panjang yang memerlukan 6 pemain setiap petang, berubah kepada PS2 yang diregukan dengan

seorang rakan, berakhir dengan PSP yang dimainkan sendirian, dengan headset yang menyumbat telinga. Manusia yang asalnya hidup secara inter-dependant kini berubah menjadi sangat individualistik.

Buat masa ini, kesan kepada cara hidup semasa sudah dapat dirasa. Anak muda tidak bijak berbahasa, PR musnah oleh salah bicara, kesan kurangnya pendedahan dan interaksi sesama manusia.

Namun bagaimana di masa hadapan?

Saya gementar membaca tentang fenomena HIKIKOMORI di Jepun.

KESONGSANGAN SOSIAL

Hikikomori (ひきこもり or 引き籠もり, adalah satu istilah di dalam Bahasa Jepun yang memberi maksud fenomena manusia yang memilih untuk menyendiri serta menarik diri daripada kehidupan bermasyarakat. Mereka mengasingkan diri di tahap yang ekstrim disebabkan oleh pelbagai faktor yang bersifat akumulatif, berkait mungkin dengan masalah social phobia atau social anxiety. Malah mungkin juga agoraphobia, avoidant personality disorder atau sifat malu yang ekstrim lagi menyakitkan.

Golongan Hikikomori di Jepun, tidak meninggalkan rumah mereka untuk jangka masa yang panjang. Isolusi mereka berlangsung selama berbulan-bulan, bertahun-tahun malah ada yang mencecah dekad. Saya yakin, sukar untuk kita bayangkan remaja di Malaysia boleh terjebak kepada penderitaan sosial seperti benchmark Hikikomori.

Namun bagaimanakah keadaan anak-anak kita hari ini?

Hikikomori meninggalkan rumah mereka hanya apabila ada keperluan yang mendesak. Pengasingan diri yang berlaku itu menyebabkan mereka kehilangan teman, berhenti sekolah, berhenti kerja, sentiasa hidup dalam kegelisahan dan dalam banyak keadaan, memutuskan terus hubungan mereka dengan ahli keluarga terdekat.

Bibit-bibit ke arah itu semuanya jelas mewarnai perkembangan semasa remaja kita.

Bertemu dengan segelintir yang mempunyai ciri-ciri calon Hikikomori, saya seperti berdepan dengan mayat hidup.

Mereka kehilangan insight tetapi bukan schizophrenic. Pantang diberi peluang, remaja ini akan sentiasa berusaha untuk balik ke bilik, menyumbat telinga dengan Ipod, memutuskan hubungannya dengan dunia luar. Itu pengalaman biasa di kem-kem remaja kita.

Hikikomori di Jepun bukan fenomena golongan bawahan. Taraf hidup yang rendah, tidak mengizinkan ibu bapa menyuap anak-anak dengan keperluan hidup mereka secara pasif tanpa anak itu perlu keluar meninggalkan bilik dan rumah. Mereka perlu membantu ibu bapa, kemudiannya keluar bekerja dan semua itu menjadi suatu bentuk paksaan untuk Hikikomori tidak berlaku. Hikikomori adalah fenomena remaja golongan pertengahan dan elit.

Selain trauma dengan pengalaman sosial seperti menjadi mangsa kes buli yang ekstrim, Hikikomori juga boleh terjadi akibat tekanan melampau yang dikenakan ke atas remaja, terutamanya budaya KIASUISM yang menjadi-jadi menerusi sistem pendidikan, desakan pekerjaan dan dikahwinkan pula keadaan ini dengan keupayaan nafkah ibu bapa menyuap anak-anak dengan keperluan hidupnya tanpa menyedari si anak mula merangkak ke dunia Hikikomori.

image

Dr Tamaki Saito, pakar psikiatri berkaitan Hikikomori berpendapat, punca kepada fenomena ini berakar umbikan sejarah dan struktur sosial masyarakat Jepun. Puisi-puisi dan muzik tradisional Jepun sering mengagung-agungkan pemencilan diri. Maka tidak hairanlah jika sehingga pertengahan kurun ke-19, Jepun sendiri telah memutuskan hubungannya dengan dunia luar selama 200 tahun.

Tetapi, ada sesuatu yang turut menarik perhatian kita. Dr. Saito menjelaskan juga bahawa fenomena Hikikomori ini banyak dialami oleh orang lelaki, terutamanya anak sulung. Ia berkait rapat dengan betuk hubungan simbiotik dan co-dependent yang unik di antara ibu dengan anak lelaki mereka di Jepun. Ibu-ibu yang keterlaluan dalam melindungi anak mereka, terutama anak sulung yang juga lelaki, mendorong kepada berlakunya keadaan luar biasa yang disebut sebagai Amae (甘え) iaitu perilaku seseorang yang cuba untuk memujuk, menarik dan mendesak pihak yang berkuasa, seperti pasangannya,  guru, orang tua, majikan atau penjaga untuk melindungi, membekalkan keperluan tanpa batasan kepada dirinya.

Apabila hal ini berlaku kepada si ibu, beliau sendiri tidak sedar bahawa anaknya telah ‘memperalatkan’ kasih sayangnya untuk si anak itu memutuskan hubungan dengan dunia luar, tetapi memanfaatkan bantuan si ibu untuk hidup sebagai Hikikomori di dalam dunia kecilnya yang penuh misteri.

Menakutkan.

PENCEGAHAN DAN SOLUSI

“Apa penyelesaiannya?” soalan yang besar untuk dijawab.

Sebagaimana punca Hikikomori itu bersifat akumulatif, penyelesaiannya juga bukan satu dan segera.

Namun sebuah kajian antropologi bertajuk Japan’s Changing Generations: Are Young People Creating a New Society? terbitan Routledge (London, 2004), memberikan pandangan bahawa salah satu punca kepada munculnya fenomena Hikikomori ini ialah pertembungan budaya tradisional Jepun pada hiraki sosial dan kehidupan generasi muda, menyebabkan ramai di kalangan mereka yang percaya bahawa segala warisan itu sudah tidak berguna, yang semua itu diburukkan lagi oleh KETIADAAN TUJUAN HIDUP YANG JELAS.

Itulah kuncinya.

AGAMA.

Agama bukan sahaja membekalkan jawapan kepada TUJUAN HIDUP sebagai pegangan, malah menyediakan mekanisme berupa konsep dan ritual yang tidak mengizinkan fenomena Hikikomori berlaku.

Solat berjemaah.

Solat Jumaat.

Malah bercampur gaul dengan orang ramai tidak dibiarkan sebagai pilihan, sebaliknya diangkat menjadi urusan agama yang mesti dilunaskan.

« إِنَّ الْمُسْلِمَ إِذَا كَانَ مُخَالِطًا النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ خَيْرٌ مِنَ الْمُسْلِمِ الَّذِى لاَ يُخَالِطُ النَّاسَ وَلاَ يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ »
Hadith Ibn Umar Radhiyallahu ‘anhuma, “�Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai dan bersabar di atas kesakitan yang timbul akibat pergaulan itu, adalah lebih baik daripada seorang mukin yang tidak bercampur gaul dengan orang ramai dan tidak sabar di atas kesakitan akibat pergaulan itu”� (Al-Tirmidhi 2507, Ibn Majah 4032)

Begitu juga, perbuatan mengasingkan diri dianggap sebagai menyerahkan diri untuk dimangsakan oleh Syaitan pada menyesatkan kehidupan manusia.

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

« إِنَّ الشَّيْطَانَ ذِئْبُ الإِنْسَانِ كَذِئْبِ الْغَنَمِ يَأْخُذُ الشَّاةَ الْقَاصِيَةَ وَالنَّاحِيَةَ فَإِيَّاكُمْ وَالشِّعَابَ وَعَلَيْكُمْ بِالْجَماعَةِ وَالْعَامَّةِ والْمَسْجِدِ »
“Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala bagi manusia seperti serigala terhadap kambing. Ia menyerang kambing yang jauh dan memencilkan diri. Maka hindarkanlah dirimu daripada hidup jauh berjauhan, dan hendaklah kamu berjemaah, bersama orang ramai dan melazimkan diri dengan masjid” [Hadith riwayat Ahmad]

Justeru itu berhati-hatilah wahai ibu bapa.

Kegagalan kita untuk berinteraksi secara efektif dengan anak-anak, membebankan mereka dengan harapan-harapan yang lebih kepada menebus keinginan peribadi kita, kemewahan harta yang dilimpahkan untuk mereka, dan hidup beragama yang semakin dilupa, bisa berakhir dengan kita kehilangan mereka.

Ibu bapa perlu menggunakan kuasa dan pengaruh untuk anak kekal bersama dalam kehidupan dewasa orang tua mereka, dan tidak dibiarkan memencilkan diri keluar meninggalkan realiti.

Anak-anak itu berada di bilik masing-masing di rumah kita.

Namun dengan Hikikomori, kita kehilangan mereka.

HASRIZAL
http://www.saifulislam.com

– See more at: http://saifulislam.com/2016/02/hikikomori-jangan-sehingga-kita-kehilangan-mereka/#.dpuf

Tagged , , , , , ,

Leave a comment